Salam 1 Malaysia kepada semua pengunjung blog ini... Blog ini direkaciptakan untuk memaparkan isu-isu semasa di negeri Perlis dan juga sekaligus memperkenalkan negeri Perlis itu sendiri yang mana mempunyai banyak keistimewaan... Diharap dengan adanya blog ini sedikit sebanyak dapat membantu anda mengetahui berita terkini dibalik negeri Perlis Indera Kayangan.....

Isnin, 7 Mei 2012

INGAT SENANG NAK NIKAH


Nikah di Perlis: Kisah Kahwin di Perlis

Satu masa dulu, syarat nikah di Perlis dilonggarkan supaya pasangan yang bermasalah tidak perlu pergi ke Thailand untuk berkahwin. Ini disebabkan banyaknya sindiket nikah palsu yang beroperasi di Selatan Siam.
Tapi, itu dulu. Sekarang, peraturan di Perlis sama seperti di negeri-negeri lain. Perlis bukan lagi tempat untuk nikah dengan mudah. Kes wali enggan atau poligami perlu dibicarakan sama seperti di negeri-negeri lain, sebelum pernikahan dibenarkan.
Walau pun begitu, masih ada pasangan yang menuju ke Perlis untuk berkahwin. Mungkin inilah yang mendorong segelintir manusia yang tak bertanggungjawab untuk menubuhkan sindiket nikah palsu di Perlis.
Menurut cerita yang kami dengar, pernikahan berlangsung dalam sebuah rumah di Perlis. Yang menikahkan mengaku dirinya sebagai seorang imam dari Songkhla. Dua orang penduduk Malaysia menjadi saksi. Imam tadi bertindak sebagai jurunikah dan wali hakim.
Selesai akad nikah, imam mengeluarkan surat nikah, kononnya dari Majlis Agama Islam Songkhla (MAIS). Yang anehnya, nama saksi dalam surat nikah itu bukan saksi yang hadir, tetapi nama dua orang naib kadhi dari Songkhla.
Pernikahan begini dikhuatiri tidak sah. Masalah utamanya ialah soal wali. Lebih tepat, dalam hal ini, soal wali hakim. Imam dari Songkhla sudah tentu tidak boleh bertindak sebagai wali hakim di Malaysia, sebab wali hakim perlu dilantik oleh raja atau Kerajaan. Tidak ada imam dari Thailand yang dilantik sebagai wali hakim oleh mana-mana Majlis Agama Islam di Malaysia!
Salah satu pasangan yang kahwin di Perlis dengan cara ini telah menghubungi MAIS untuk mendapatkan kepastian tentang status pernikahan mereka. Ternyata, pernikahan mereka tak ada dalam rekod MAIS, dan MAIS sendiri menganggap perkahwinan itu sebagai tidak sah.
Mudah-mudahan tak ada lagi pasangan yang tertipu dengan cara ini. Kalau dirasakan cuma kahwin lari dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi, jangan nikah di Perlis melalui sindiket, untuk mendapatkan surat nikah MAIS. Pergi terus ke pejabat MAIS di Songkhla Wilayah!

Hampa ingat senang nak nikah..nak nikah cemei ja kerja...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan